Saturday, February 15, 2014

Mahu Vs Perlu

Assalamualaikum,

Mahu Vs Perlu. Apa kaitan dengan saya?


Kalau hendak dinyatakan 'mahu', ada banyak perkara yang saya inginkan. Kalau hendak dinyatakan 'perlu', juga ada banyak yang saya perlukan.

Persoalannya, yang manakah lebih penting?

'Saya mahu kahwin' dengan 'saya perlu kahwin' ialah dua ayat yang mempunyai maksud berbeza.

'Mahu' bermaksud, sesuatu yang kita inginkan namun jika ditangguh tidak akan memberi kemudaratan. Tetapi 'perlu' bermaksud sesuatu yang wajib kita lakukan agar tidak membawa diri ke arah kemudaratan. Dalam erti kata yang lain, jika tidak laksanakan akan membawa padah pada diri sendiri.

Pada ketika ini, keinginan saya mahu berkahwin semakin hampir. Ya, tidak saya nafikan setiap kali hati terdetik mahu juga kahwin pabila melihat gambar rakan yang sudah selamat diijab kabulkan. Namun adakah perlu bagi diri saya untuk berkahwin buat masa ini?

Hanya Allah Maha Mengetahui. Jodoh saya juga telah ditetapkan sejak di luh mahfuz lagi.

Namun adakala hati saya diuji. Saya terima ujian itu. Ya, saya sudah jatuh hati pada seseorang insan. Perlukah saya menyatakan pada dia atau mahukah saya hanya sekadar mendiamkan diri?

Saya kira, pengalaman mengajar seribu pengajaran. Saya ada terfikir jika saya memberitahu insan tersebut jika ditolak, maka hati saya yang bakal cedera. Namun jika saya mendiamkan diri dan memberitahu pada 'pemilik' insan tersebut maka segala ketentuan takdir di tangan 'pemilik' tersebut.

Ada yang mencadangkan supaya saya memberitahu pada insan tersebut agar saya tidak menanggung persoalan. Tapi saya juga sudah bersedia, akibat yang bakal diterima sekiranya saya berterus terang..

Maka, adakah kerana saya mahu atau adakah saya perlu?

Wednesday, February 12, 2014

2014.. cabaran baru.. penghijrahan sepenuhnya.. InshaAllah

Assalamualaikum,

Boleh kira cukup lama sekali saya tidak menulis di ruang blog ini. Pada asalnya, niat sekadar mahu berkongsi pandangan pelbagai bidang akhirnya bertukar menjadi ruang ekspresi diri atau meluahkan perasaan. Ya. Oleh kerana itu saya mengambil keputusan untuk berhenti sementara menulis disini kerana bimbang jika peranan jari meluahkan perasaan semakin berlarutan dan mengundang padah.

Sekelip mata sahaja, tahun 2014 kian menyapa. Sukar dipercayai, namun syukur alhamdulillah kerana saya masih hidup bernyawa di atas bumi Allah yang sementara ini. Alhamdulillah jua kerana sihat walafiat dan kini sudah bergelar pekerja tetap. Rezeki diberi dan diterima serta berkesempatan dengan itu mampu memberi sedikit sumbangan pada keluarga.

Baiklah, kembali pada tujuan asal menulis. Sepanjang penglibatan diri dari tahun 2013 hingga kini, boleh saya simpulkan pelbagai peristiwa telah berlaku. Namun tidak perlulah saya nyatakan satu per satu. Cukuplah hanya pihak tertentu dan pastinya Allah Maha Mengetahui.

Setiap hari, kita berdoa semoga diberi peluang untuk bertaubat mahupun membersihkan dosa. Namun tatkala hati terdetik mahu berubah, berubah yang boleh dikatakan sepenuhnya, akhirnya disapa bisikan godaan syaitanirojim. Ada sahaja halangan dan dugaan yang diterima. Elok periksa tahap kesuburan iman dalam diri kita. Bukanlah bermaksud, saya tidak pernah melakukan dosa, tidak. Tapi merupakan salah satu usaha untuk menjadi insan yang diterima amal ibadatnya, akhlaknya, sedekah jariahnya dan keberkatan hidup di dunianya. Ya, itulah yang berkekalan dan boleh dibawa tumpang ketika menuju ke alam barzakh nanti.

Perubahan diri semakin diuji, dari segi pelbagai aspek. Contoh paling mudah, pergaulan campur di tempat kerja, melambat2kan solat disebabkan kesibukan bekerja, permasalahan hati akibat tidak terjaga ikhtilat sesama muslim, perbezaan pandangan di kalangan pelbagai kaum di tempat kerja dan keberkatan bekerja di sebuah institusi kewangan bersifat Antarabangsa.

Tapi, siapakah kita disisi Allah jika kita melebihkan aspek duniawi dari akhirat? Apabila dalam kubur kelak, apa yang mampu kita jawab bila ditanyakan "Apakah amalan yang telah kau lakukan sepanjang hidup di bumi?" Semoga kita mampu menjawab segala pertanyaan tersebut kelak kerana yang pastinya, 'mati tidak pernah diketahui bilakah tarikhnya'

Namun tiada alasan bagi kita untuk tidak mencuba berubah dan kembali ke pangkal jalan kerana Allah sentiasa menerima mereka yang mahu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Sejauh manakah kesungguhan kita untuk melaksanakannya?

Ia bergantung pada keimanan dalam hati kita. Raja di dalam diri ialah hati, maka segala tindakan dan perubahan pasti melalui hati.

InshaAllah, semoga dipermudahkan segala bentuk perancangan samada penambahan amalan mahupun rencana kehidupan. Yang pastinya, biarlah Allah yang menetapkan segalanya. Kita hanya mampu merancang, tetapi Allah akan menentukan kerana pada pengakhiran kelak, membawa kebaikan pada diri sendiri juga.

Wallahualam, inshaAllah..