Monday, January 21, 2013

Permasalahan Hati

Assalamualaikum semua,

"Belajar dari kesilapan". Ya, kita selalu dengar ayat itu bahkan sering kali dikaitkan dengan perselisihan faham antara satu sama lain. Namun kita berterusan lakukan perkara yang sama, contoh kita kata mahu berubah; berhenti mengumpat. tetapi pada masa yang sama kita masih mengumpat atau jaga tepi kain orang secara tidak langsung. Mengapa?




Persoalan yang mahu dirungkaikan, mengapa kita masih melakukan perkara yang sama berulang kali? Sungguh, sudah nekad tidak mahu mengulangi. Tetapi tetap jua diulangi. Kesannya, ada manusia terluka, pergaduhan semakin panjang dan hubungan menjadi renggang.



Ini semua berkait rapat dengan permasalan hati. Jika bersih hati kita, maka kita tidak akan mengumpat, marah, fitnah, benci, sakit hati, cemburu, buruk sangka dan sebagainya. Jika kotor hati kita maka semua sifat mazmumah mudah masuk ke dalam hati. Hati yang kotor tidak dibaja dengan baik; mungkin solat yang wajib ada rongaknya atau tidak sempurna, akidah yang tidak baik, permasalahan dengan hablum minannas (hubungan sesama manusia) dan juga hablum minallah (hubungan dengan Allah)




Bagaimana mahu mengatasi?


Ini semua terletak pada diri kita. Nawaitu dan juga kesungguhan kita dalam menjernihkan permasalahan dan perselisihan faham dengan manusia yang lain. Benar, manusia tiada yang sempurna. Tetapi adakala manusia hilang kawalan dan mudah dipelopori oleh anasir luar seperti persekitaran, gangguan permasalahan hati yang dikawal oleh nafsu amarah yakni musuh umat Islam yang utama, syaitan.



Ego juga salah satu permasalahan hati yakni tidak mahu mengalah yang akhirnya membawa kerugian kepada diri sendiri. Manusia ego kerana diganggu oleh syaitan yang mana mengusik masuk ke dalam hati dan fikiran, lalu menyebabkan pergaduhan itu semakin rumit dan akhirnya berlakulah perpisahan atau contoh yang lebih mudah difahami; penceraian.



Pengurusan fitrah manusia, yakni kesukaan terhadap insan lain harus diuruskan dengan cara yang betul. Salah cara, hati mudah rosak dan sukar untuk membersihkan hati semula. Fitrah manusia tidak salah, tetapi adalah lebih baik percaya dengan pilihan Allah.





Justeri itu, hati haruslah ditanamkan rasa kecintaan terhadap pencipta manusia sekalian alam, Allah. Berzikir kepadaNya adalah salah satu cara untuk menambahkan rasa cinta pada Allah. Seterusnya tanamkan kecintaan terhadap pemimpin Islam dikagumi, Rasulullah saw. Membaca kisah kisah Baginda dengan Sahabat dan banyakkan selawat ke atas Baginda. Rasulullah s.aw telah bersabda yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawa pada jasad terdapat segumpal darah, apabila elok, nescaya eloklah seluruh jasad dan apabila rosak, maka rosaklah seluruh jasad. ketahuilah, itulah hati.”


Dan akhirnya tanamlah kecintaan terhadap kitab utama dan utusan dari Nya, al-Quran serta as-sunnah. Satu hari satu muka surat, jika diamalkan hari hari maka boleh jadi kita mampu menghafal dan memahami setiap barisan ayatNya.


Jika ia dimakmurkan dengan yakin dan iman, sudah tentu segala anggota akan mengikut dengan penuh keimanan. Untuk kita melihat betapa kuat, kuasa dan luasnya hati dengan keimanan, Allah swt menjelaskan makna ini dalam surah al-Zumar, ayat 23 yang bermaksud:


“Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik iaitu al-Quran yang serupa (nilai ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang yang dikehendaki-Nya. Dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorangpun pemberi petunjuk baginya.”


Dengan adanya ini maka hati tidak mudah dikuasai oleh syaitan, malah kita lebih rasa tenang setiap kali berlakunya musibah yang tidak diduga.



Perkara paling penting, kewajipan kita sebagai hamba Nya harus dilaksanakan. Ambil peluang tambahkan amalan sunat seperti bangun di pertengahan malam untuk memohon keampunan dari Nya dan meminta serta mengadu kepada Nya. Tidak sia sia kita melakukan ibadah sunat ini bahkan ia adalah sebagai jaminan, yang mana kita belum tentu peroleh pahala dari ibadah wajib kita.


Setiap kejadian ada hikmahNya. Yakinlah bahawa Allah sudah menetapkan kehidupan yang terbaik buat diri kita. in shaa Allah.


*peringatan buat diri penulis*

-gambar sekadar perhiasan-

No comments:

Post a Comment